Akhtiera

Arbani terbaring sambil matanya memandang siling. Kelihatan matanya terkebil-kebil seolah-olah ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya. Di atas siling kelihatan dua ekor cicak sedang bermadu asmara, tidak diketahui jantina cicak itu malah tidak mustahil jika keduanya adalah berjantina sama. "Dasar cicak rosak akhlak", monolog Arbani berbaur sedikit kejelesan.

Fikirannya menerawang memikirkan sebujur wajah, wajah yang indah pada zahirnya. Wajah yang membuatkan Arbani resah gelisah. Wajah yang menukarkan hidup Arbani dari berwarna hitam putih kepada warna pelangi. Wajah yang sering terbayang di kala mahu tidur, mahu makan, mahu mandi dan kadang-kadang muncul sebelum Arbani hendak mengangkat takbir. Astaghfirullah. Wajah milik seorang gadis bernama Akhtiera. 

Nyamuk yang sedang asyik menghisap darah di pipinya tidak dihiraukan, andai itu satu bentuk pengorbanan, Arbani rela berkorban asalkan konsentrasinya memikirkan tentang Akhtiera tidak terganggu. Fikirannya jauh melayang-layang dan membawanya kepada suatu tempat yang terang, dipenuhi ramai orang, berbunyi bingit 6 bulan yang lepas. Saat pertama dia terpandang gadis tersebut.

6 bulan yang lepas..(Dibaca dengan nada serius dan sedikit tinggi)

Tiket tren di tangannya dipegang kemas, sama kemas seperti memegang kertas nombor ekor. Wajah Arbani sedikit hampa, satu lagi sesi temuduga yang gagal hadir dalam hidupnya. Sudah berulangkali dia mengalami perkara yang sama, dikecewakan oleh temuduga yang berat sebelah dan bersikap celaka. "Apa dia ingat orang rambut panjang tak pandai guna komputer?", jerit Arbani dalam hati sambil menumbuk pintu tren. Beberapa pasang mata memerhatikan kelakuannya. Seorang ibu menyuruh anaknya menjauhi Arbani dengan isyarat tangan.

Akibat terlalu stress, Arbani mengeluarkan sebatang rokok dan mencucuhnya. Asap berkepul-kepul naik ke atas. "Dik, dalam tren tak boleh hisap rokok", tegur seorang lelaki tua yang sedang berdiri sambil membimbit briefcase. Arbani menjeling ke arah lelaki tua tersebut. "Pakcik ni ada asthma, boleh padamkan tak rokok tu?", tegur lelaki tua itu lagi sambil mula tercungap-cungap. 

Arbani mengeluh kali kedua sambil menekan puntung rokok pada lantai tren. Semakin banyak mata yang memerhatikannya dan mula berbisik-bisik. Dalam bisik-bisik yang hadir pada ketika itu, telinga Arbani menangkap satu bunyi yang berbeza. Bunyi tangisan. Seorang gadis sedang menekup mukanya sambil menangis tidak jauh di hadapan Arbani. 

Sepuaka-puaka Arbani, dia cukup lemah melihat perempuan menangis. Sedangkan pelakon wanita menangis dalam drama tivi pun cukup membuatkan Arbani menerajang tivi, inikan pula gadis yang sedang menangis secara live di hadapannya. Arbani mengeluarkan sapu tangan dari poket seluarnya dan menuju ke arah gadis tersebut.

Baru dua tapak Arbani melangkah, berlaku satu dentuman kuat. Tren berhenti secara mendadak, orang ramai yang berdiri terjatuh, yang duduk tersungkur, yang beromen tersentak, yang sedang membaca suratkhabar terselak suratkhabarnya. Tentu sukar hendak mencari page yang mereka sedang baca.

"Tren terlanggar gajah!!!", jerit seorang lelaki yang berdiri di hadapan sekali.



Bersambung...

9 carutan:

ni naik tren kat mana ni aok? kuale lipih ke?

lg satu, kalau tren kat kl dh tak pakai tiket tawu....deme pakai coin...kakakaka

p/s: x sabo tggu sambungan

 

power power.. (Dibaca dengan nada serius dan sedikit tinggi)

tapi nama tak boleh nak complicated lagi ke? dah macam watak avatar di alam pandora.

 

mane pulak dtg nye gajah???

bro..lame lu x updaate ek..sekali update wat gwa rase nk mengamok.

nape bersambong??!

 

tolonglah sambung..hahaha

 

lama aku tunggu ko update, tahu?! (dibaca dengan nada merajuk sedikit tinggi)

 

kakakaka,konfom entry cinta lah nii.

 

Nyamuk yang sedang asyik menghisap darah di pipinya tidak dihiraukan, andai itu satu bentuk pengorbanan ! Sweetnyerrrrr! Kakaka

 

Nyamuk yang sedang asyik menghisap darah di pipinya tidak dihiraukan, andai itu satu bentuk pengorbanan! Sweetnyerrr! Kakakaka!

 

Arbani jatuh atas permpuan tu tak?