Remy duduk bersandar di atas tangga kayu rumah kampung tersebut sambil memandang langit yang terbentang luas. Malam itu sungguh sunyi sehingga degupan jantungnya pon boleh didengari. Malam ini sudah masuk malam ke 60 dia terperangkap dalam kampung di bandaraya Kuala Lumpur itu. Terperangkap dalam tahun 1968!
Dua bulan lepas dia mengalami peristiwa yang benar-benar mengubah hidupnya. Tidak disangka satu kemalangan kecil telah membawa dia ke sini,tempat paling mustahil dalam logik akal manusia. Dia masih ingat apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta lain semasa sedang menunggang di Bukit Bintang. Kesan pelanggaran itu menyebabkan dia tidak sedarkan diri dan tiba-tiba dia sudah berada di sini. Masih di Kuala Lumpur tapi pada zaman yang berbeza.
"Jauh termenung nampaknya",satu suara dari luar rumah menganggu lamunan Remy.
Dia menoleh dan melihat Pak Mad sedang berdiri sambil tersenyum memandangnya. Pak Mad merupakan insan yang paling banyak berjasa kepadanya sepanjang dia terperangkap di sini. Pak Mad yang bekerja membawa teksi jugalah orang pertama yang mula-mula menemuinya ketika dia terbaring tidak sedarkan diri di hadapan Federal Hotel.Kini insan itu sanggup pula menumpangkan Remy di rumahnya.
"Baru pulang Pak Mad?Banyak dapat penumpang hari ni?",tanya Remy cuba mengalihkan topik. Dia tidak mahu orang tua itu dapat menduga resah di hatinya.
"Adalah sikit Remy,sejak Radio Televisyen tu pindah ke Angkasapuri sana,dah makin kurang orang yang naik teksi. Tak macam masa kat jalan Ampang dulu",jawab Pak Mad sambil membasuh kaki dengan air dari tempayan di tepi tangga.
Remy tersedar yang sepanjang dia berada di zaman ini,banyak perkara bersejarah berlaku di depan matanya. Radio Televisyen masih tidak dikenali dengan nama RTM dan baru sahaja dipindahkan ke Angkasapuri dari Jalan Ampang,duit syiling 50 sen baru diperkenalkan tahun itu dan dapat menonton filem Anak Bapak lakonan Tan Sri P.Ramlee di panggung wayang.
Zaman itu telah membuka matanya pada benda yang dilupakan pada tahun 2011. Kesusahan rakyat pada era pasca merdeka,kesungguhan kerajaan membanteras pengaruh komunis dengan melakukan insurgensi dan bermacam perkara lagi yang tidak pernah difikirkan olehnya sebelum ini.
Malah zaman itu juga telah mengetuk pintu hatinya,oleh seorang gadis bernama Aisyah. Aisyah merupakan anak bongsu kepada Pak Mad,seorang gadis manis mempunyai mata yang redup dan senyuman yang memukau. Walaupon baru berusia 18 tahun,dia kelihatan matang bila berbicara.
Remy masih ingat apabila saat pertama bertentang mata dengan Aisyah,tubuhnya menjadi kaku dan hatinya berdetik sesuatu,seolah-olah mendapat isyarat dari langit. Gadis di depan matanya itu sungguh mempesonakan. Pada zaman dia datang susah untuk melihat gadis melayu yang kecantikannya masih terpelihara dari sebarang alat solekan seperti Aisyah.
"Abang nak makan apa tengahari nanti? Boleh Aisyah masakkan.",tanya suara halus itu kepada Remy pada satu pagi.
"Hari ni Aisyah tak payah masak la,kita pergi makan kat Sushi King je. Abang tiba-tiba teringin pulak nak makan sushi",jawab Remy dan selepas melihat Aisyah memandangnya pelik,Remy menepuk dahinya.
Remy baru tersedar yang jangan kata Sushi King,nasi goreng USA pun belum tentu wujud lagi pada tahun 1968. Remy terasa dirinya berkelakuan seperti orang bodoh di hadapan Aisyah. Dia menggaru kepalanya dan menundukkan muka ke lantai.
"Aisyah masak je la apa-apa pun. Lagipun semua benda jadi sedap kat tangan Aisyah.",kata Remy sambil memandang ke lantai.
"Alah Abang Remy ni,tahulah Aisyah tak pandai masak,saje nak perli kan?",jawab Aisyah sambil mencebikkan bibir dan berlalu ke dapur.
Sejujurnya Remy rasa senang dengan gadis itu. Aisyah memberikan dia seribu perasaan yang tak pernah dirasainya pada tahun 2011. Namun Remy sedar,susah untuk dia zahirkan apa yang dia rasakan kerana status tunangan orang yang dipikulnya. Tambahan pula mereka berdua hidup pada era yang berbeza. Pagi itu,Remy mengeluh sendirian.
Sepanjang berada di zaman itu,ada sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Remy iaitu mengusik sejarah. Kalau diikutkan hatinya,mahu sahaja dia pergi berjumpa ibunya yang mungkin pada masa itu masih berusia belasan tahun atau menatap wajah arwah ayahnya yang sangat dirindukan setiap masa.
Tapi Remy sedar dia tiada hak untuk mengusik sejarah. Masa itu milik Tuhan dan hanya Tuhan sahaja layak merencanakannya. Jika masa itu permainan manusia,dia sedar manusia hanya akan merosakkannya. Oleh sebab itu,dia cuba menyembunyikan identitinya,dia tidak mahu ada sesiapa yang tahu dia datang dari masa depan.
Kepada Pak Mad,dia membuat cerita yang dia merupakan seorang anak yatim piatu dan datang merantau ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki. Setiap kali Aisyah bertanyakan tentang dirinya pula,Remy cermat menyusun cerita supaya tiada yang janggal pada fikiran Aisyah. Namun Remy tahu Aisyah dapat menghidu sesuatu. Gadis itu terlalu bijaksana untuk ditipu.
Hari ini sudah masuk hari ke 73 Remy berada dalam tahun 1968. Dia semakin buntu dan keliru. Hari-harinya banyak dihabiskan dengan berfikir untuk mencari jalan pulang. Bukanlah dia tidak betah menjalani kehidupan pada zaman itu malah sejujurnya dia amat selesa berada di situ.
Kuala Lumpur masih sebuah bandar yang tenang. Hiruk-pikuk kotaraya tidak tergambar langsung di sini. Remy tersenyum sendirian apabila memikirkan yang pada tahun 1968 dia masih boleh berbaring di tengah jalanraya pada waktu malam,kalau dibuatnya juga perkara itu pada tahun 2011 mungkin sudah lama tubuhnya ditutup dengan suratkhabar.
Namun hendak tak hendak,Remy harus juga mencari jalan pulang ke tahun 2011. Dia masih mempunyai keluarga dan tunang di sana. Hati Remy makin tidak keruan bila dia menyedari yang mungkin ibunya merasa amat risau akan kehilangannya. Tunangnya,Sofea pula pasti tercari-cari kelibatnya. Remy khuatir Sofea akan menyangka dia sengaja menghilangkan diri.
"Abang Remy! Abang Remy!",satu panggilan mengejutkan Remy dari permainan fikiran. Remy automatik tersenyum apabila melihat Aisyah sedang berlari anak ke arahnya sambil membawa sebiji gitar.
"Abang Remy tahu main gitar?",soal gadis itu dengan senyuman manis. Di wajahnya penuh dengan harapan.
"Tak tahu la,Abang Remy buta seni",jawab Remy cuba mengusik Aisyah.
"Jangan nak borak la,Aisyah tahu Abang Remy mesti tahu bukan? Main la,Aisyah teringin nak mendengar Abang Remy menyanyi",rayu gadis itu lagi sambil menghulurkan gitar padanya.
Lagu Berjuta Batu nyanyian kumpulan Alleycats dimainkan oleh Remy pada petang itu. Sedikit sebanyak dapat juga dia menghiburkan hatinya yang sedang lara. Beberapa orang kanak-kanak yang sedang asyik bermain konda kondi terhenti saat mendengar nyanyian Remy. Lagu seperti itu masih lagi asing pada telinga mereka.
"Nah,tak boleh banyak-banyak nanti hujan. Ni gitar sape ni?",kata Remy sambil menghulurkan gitar kepada Aisyah selepas menghabiskan nyanyiannya.
"Abang Remy ni jual mahal tau! Lagu yang Abang Remy nyanyi tu sedap,Aisyah tak pernah dengar lagu macam ni. Tu gitar Aru..",jawab Aisyah sambil menuding jari ke arah seorang pemuda india belasan tahun yang sedang tersengih pada mereka.
"Bang,saya banyak suka lagu tadi. Abang buat sendiri?",tanya Aru sambil mencapai gitarnya yang dihulurkan oleh Aisyah.
"Ehh,tak la,tu lagu orang lain,abang nyanyikan je",jawab Remy sambil melipat kaki seluarnya.
"Satu hari nanti saya pun nak jadi penyanyi terkenal. Bikin album.",kata Aru tersenyum sambil meninggalkan Remy dan Aisyah.
Apabila Remy melihat Aru dari belakang,hati Remy terhenti seketika. Dia baru terperasan sesuatu tentang Aru. Raut wajahnya,fesyen rambutnya mengingatkan Remy kepada seseorang.
Harap-harap budak india ni bukan David Arumugam,kalau tak habis laa,bisik hati Remy.
"Abang,Aisyah tanya sikit boleh?",kata Aisyah sambil membuang daun yang terjatuh ke atas kepalanya sambil Remy melunjurkan kakinya di atas pangkin.
Remy tersenyum sambil menganggukkan kepala. Dia tahu Aisyah pasti hendak bertanyakan tentang asal usul dirinya. Remy menanti soalan dari Aisyah sambil melemparkan pandangan ke arah suasana sekitar. Aman dan damai.
"Boleh Aisyah tahu di mana kampung Abang Remy? Baju Abang Remy selalu pakai pun tak sama macam orang lain",tanya gadis bermata bulat itu.
Dalam pelanggaran 73 hari yang lalu,Remy turut membawa sebuah beg berisi pakaian yang digalasnya semasa menunggang motosikal. Bukan sahaja pakaian,malah botol berisi duit syiling hasil tabungannya juga turut berada dalam beg tersebut. Dengan duit syiling itu jugalah Remy menyara diri sepanjang dia berada di zaman tersebut. Walaupon tidak melebihi RM300,ia masih merupakan satu jumlah yang besar pada tahun 1968.
"Jauh.",Remy membalas ringkas.
"Tahulah jauh tapi jauh macam mana?Perlis?",soal Aisyah selepas tidak berpuas hati dengan jawapan Remy.
"Lagi jauh dari Perlis,entah-entah makan masa seribu tahun cahaya nak ke sana",jawab Remy dan bangun dari pangkin. Dia bersandar pada pokok mempelam di sebelah pangkin itu sambil meletakkan kedua tangannya di belakang kepala.
"Tahun cahaya tu apa? Abang Remy ni suka cakap ayat pelik-pelik!",Aisyah mula memuncungkan bibirnya.
Remy mengerutkan dahinya,timbul rasa menyesal dalam hati kerana mengeluarkan perkataan yang tidak mungkin boleh difahami dengan mudah.
"Err..suatu hari nanti Aisyah akan faham",jawab Remy sambil merenung mata Aisyah.
Baru sahaja Aisyah mahu membuka mulutnya,mereka berdua dikejutkan dengan ngauman enjin motosikal yang memekakkan telinga. Di atas jalan tidak jauh daripada mereka,seorang pemuda sedang menunggang sebiji vespa dengan melakukan aksi "Superman".
"Pehh!!Zaman ni pun dah ada mat rempit?",kata Remy sedikit kuat.
"Mat rempit? Itu bukan mat rempit la abang,itu Jamal,anak tuan rumah. Dia tu kacang hantu kat sini.",jawab Aisyah sambil membuat muka menyampah.
Mendengar jawapan Aisyah,Remy tidak dapat menahan ketawanya. Petang itu Remy ketawa terbahak-bahak dan melupakan seketika kemelut yang melanda dirinya.
Dalam usaha untuk balik ke masa depan,Remy cuba memikirkan cara paling sesuai. Hari demi hari kian berlalu dan Remy mula rasa terdesak. Hubungannya dengan Aisyah semakin rapat dan dia tidak mahu melukakan hati gadis tersebut.
Remy sedar usahanya untuk pulang adalah sangat mustahil tapi dia mesti berikhtiar melakukan sesuatu..Duduk diam bukan pilihan yang betul pada saat itu. Apa yang Remy ingat sebelum pelanggaran yang membawanya ke sini,hari itu merupakan hari yang pelik dengan langit yang berwarna ungu.
Remy yakin langit berwarna ungu itu pasti ada kaitan dengan pelanggaran yang membawanya ke tahun 1968. Dalam filem "Back to future",Marty McFly dan Dr Emmett Brown merantau masa dengan menggunakan sebiji kereta yang mendapat kuasa dari plutonium. Remy sedar mustahil dia boleh mencari kereta seperti itu di Malaysia dan mustahil juga ada orang Malaysia seperti Dr Emmett Brown. Remy semakin buntu.
Malam itu merupakan malam yang ke 98 Remy berada dalam tahun 1968. Sedang dia duduk di atas pangkin sambil melihat keindahan langit ciptaan Tuhan,Aisyah keluar dari rumah dan menuju ke arahnya. Tanpa dipinta,Aisyah duduk di sebelah Remy. Remy sedar sudah tiba masanya dia berterus terang dengan Aisyah.
"Abang tahu Aisyah ingin tahu tentang diri abang dan malam ini abang akan ceritakan semuanya.",kata Remy lembut. Aisyah hanya mengangguk perlahan.
"Abang datang dari masa hadapan,pada tahun 2011. Abang tahu mungkin perkara ini nampak mengarut tapi percayalah abang bercakap benar. Abang tidak tahu bagaimana abang boleh terperangkap di sini tapi abang percaya semua ada hikmahnya.",jelas Remy sambil menghela nafas panjang.
Riak muka Aisyah kelihatan terkejut dan selepas agak lama berdiam,Aisyah mula bersuara,"Aisyah percaya semua cerita abang tapi kenapa baru sekarang abang ceritakan pada Aisyah?"
"Mungkin dah tiba masanya abang terpaksa terima kenyataan yang sampai sudah pun abang takkan mampu pulang. Abang harap Aisyah dapat bantu abang menyesuaikan diri di sini. Boleh terima abang?",tanya Remy sambil memegang dadanya.
"Usah kata 2011,kalau abang dari tahun 1911 pun Aisyah terima seadanya",jawab Aisyah tersenyum malu. Mereka berdua sedar malam itu perasaan mereka berdua mula bersambung dan menguntum.
Esoknya Remy menemani Aisyah membeli sedikit barang di kotaraya Kuala Lumpur. Aisyah yang memakai gaun separas lutut dengan corak polka dot kelihatan sangat jelita pada petang itu. Remy yang memakai kemeja kotak dengan seluar jeans corduroy pula kelihatan sangat bahagia di samping Aisyah.
"Abang,ceritalah tentang tahun 2011,Aisyah teringin nak tahu",kata Aisyah tiba-tiba semasa mereka melewati Federal Hotel. Langkah Remy terhenti.
"Cukuplah Aisyah tahu yang Malaysia pada tahun 2011 punya segalanya tapi masih tak punya apa-apa.",jawab Remy sambil tersenyum manis.
"Abang Remy selalu cakap ayat buat Aisyah tak faham!",rajuk Aisyah sambil melintas jalan seorang diri.
Remy tersengih melihat gelagat Aisyah. Dia melihat jam di tangan,sudah masuk pukul 5.13 petang dan Remy tiba-tiba terkejut. Bagaimana dia boleh terlupa yang 13hb Mei 1969 masih berada di hadapan!
"Aisyah!Ada sesuatu Aisyah perlu tahu tentang 13hb!",jerit Remy pada Aisyah yang sudah berada di seberang jalan. Deruman enjin kereta menyebabkan Aisyah tidak dapat mendengar jeritan Remy. Remy berlari melintas jalan sambil menjerit.
"Kita kena hati-hati dengan 13hb..",belum sempat Remy menghabiskan ayatnya,dia terperasan sesuatu. Langit yang berwarna ungu! Tiba-tiba muncul sebiji kereta dengan laju dan melanggar Remy sehingga rebah. Pandangan Remy menjadi hitam.
Apabila Remy tersedar dia sudah berada di katil hospital. Apabila melihat muka ibunya,perasaan Remy bercampur-campur,gembira kerana tahu yang dia sudah berjaya kembali ke masa depan dan pada masa yang sama dia juga merasa sedih kerana terpaksa meninggalkan Aisyah di tahun 1968.
Hati Remy menjadi semakin tidak keruan apabila mendapat tahu tunangnya Sofea sudah menjadi isteri orang. 99 hari dia tiada dan hanya 99 hari penentu cintanya tapi dia tidak membenci Sofea. Dia sedar dia sendiri belum tentu dapat bertahan jika berada dalam posisi Sofea.
Tanpa diduga dia terluka dalam dua zaman yang berbeza.
Beberapa minggu selepas itu,Remy kelihatan duduk termenung di hadapan Federal Hotel. Bermacam-macam perkara bermain di fikirannya,tentang Aisyah,tentang tahun 1968 dan hidupnya. Remy rela jika dapat kembali semula ke sana.
"Assalamualaikum. Encik ni Remy Fitri kan?",tanya seorang gadis cantik yang mendekatinya tiba-tiba.
Remy cuba mengingati wajah gadis itu,kelihatan seperti pernah dilihat tapi Remy sudah terlupa siapa. Remy mengangguk dengan seribu persoalan.
"Sudah lama saya cari Encik Remy,sebelum arwah nenek saya pergi dia memberikan amanah kepada saya untuk menyerahkan surat ini kepada Encik Remy",kata gadis itu sambil menyerahkan sekeping surat.
Perlahan-lahan surat itu dibuka dan dibacanya dengan teliti.
Berjuta tahun cahaya kita terpisah,
Masa depan menjadi resah,
Masa silam menjadi kisah,
Berjuta tahun cahaya dikau melayang,
Hanya masa jadi penghalang,
Cinta tetap tidak menghilang,
Adakah cinta mengubah sejarah,
Atau sejarah mengubah cinta,
Jika takdir penentu segalanya,
Cerita kita daku harapkan,
Kisah klasik untuk masa depan.
Aisyah
Remy melipat helaian kertas itu dengan perasaan sebak. Dia tahu demi masa,sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Dia memandang gadis cantik yang memberikan surat kepadanya tadi dan perlahan Remy bersuara.
"Suka makan Sushi?"
Tammat
P vote S : Gua dedikasikan entri ni buat makwe yang selalu makwe dan puaka yang selamanya puaka..Kalau nak rasa caring sikit dan vote entri gua jangan lupa pergi blog kisah klasik kita.Kalau lu orang taknak baca pun gua tak kisah,asalkan vote..kahkahkah..
8 carutan:
awesome ahh.. tapi mcm mna cucu aisyah tau nak carik remy dekat mne?
yang tu lu kena tunggu sambungannya..kehkehkeh..
dah vote?hikhik..
pergh meremang bulu roma den baca cerita ekau ni.
wah... sgt best!
haa kat sini pon gua vote.
saya vote cerpen ni! bagi leplep menang! hahha
panjang sangat. aku tak baca. aku datang nak blogwalking saja. jemput2 leh jenguk blog saya..xoxo
puaka pn pndai wt cite hebat cmni.wa tabek springgg sama lu..terbaek!!
best giller..sakit woo terluke 2 kali nih..
Post a Comment