Password

Sebelum entri ni ditulis, gua mempunyai satu masalah besar. Lupa password blog. Dan sebagai seorang yang ego, gua tidak menekan langsung button "need help?". Bantuan hanya untuk orang yang lemah. Jadi gua cuba meneka apa password yang gua gunakan. Dari nama singkatan, nama bekas makwe, nama gabungan nama singkatan dan nama bekas makwe, objek, tajuk filem kegemaran dan banyak lagi nama, semuanya gagal.

Anak anjing punya password.

Akhirnya, gua berjaya jugak masuk. Janganlah tanya bagaimana cara gua dapat mengingati password tersebut. Hati gua mungkin terguris. Lagipun, orang tua tua kata, tak elok kalau ego sangat.

Jadi, begitulah kisah gua dan password blog.

Hidup Saya

Kebelakangan ini, hidup saya sedikit huru hara. Dengan alasan huru hara, blog saya ini juga turut tergendala. Tapi tidaklah pula saya hairan dengan perasaan blog saya apatah lagi perasaan anda semua. Perasaan saya yang paling utama.

Jadi untuk membuatkan hidup saya kembali normal, saya terpaksa repair apa yang boleh direpair, tinggalkan apa yang patut ditinggalkan, buang apa yang patut dibuang, delete folder gambar yang patut didelete, terajang apa yang patut diterajang dan ketawa apa yang patut diketawakan. Selepas buat semua yang patut dibuat, saya rasa lebih lega sekarang. Anda bagaimana? Jangan jawab, percayalah saya takkan peduli.

Saya kini sudah bekerja sepenuh masa dengan Terfaktab iaitu satu organisasi kapitalis yang bertopengkan cinta. Pejabat baru saya pula terletak di atas restoran Mak Uda iaitu satu restoran melayu yang juga bersikap kapitalis. Lama kelamaan saya risau saya akan terpengaruh dengan persekitaran kapitalis ini dan mungkin mengenakan bayaran kepada siapa yang mahu bersembang dengan saya. 

Tentang cinta, saya tiada apa untuk diceritakan. Love suck. Ya, anda tidak silap membacanya.

Dan sekarang pada pukul 5.35 pagi ini, saya sedang duduk seorang diri di pejabat. Setakat ini mesin fotostat tidak hidup dengan sendiri, tiada bunyi bunyi kerusi ditarik atau kelihatan lembaga bertenggek di atas aircond. Saya harap tiada kerana jika ada, mereka menempah bahaya. Saya bukanlah seorang lelaki yang mudah ditumpaskan. Kahkahkah! 

Begitulah serba sedikit mengenai kehidupan terbaru saya. Terima kasih.

Bidadari Oktober

Sepanjang malam saya merenung skrin laptop dan akhirnya saya membuat keputusan menulis surat maya buat saudari yang selalu lekat di hati.

Saudari,

Bagaimana angin 20 oktober bertiup? Masih kencang atau sudah lembut membelai pipi? Bagaimana awan 20 oktober berarak? Masih mendung atau sudah cerah dibias mentari? Dan bagaimana senyuman pada 20 oktober? Masih suram atau sudah berseri?

25 tahun, dua dekad setengah, dua dasawarsa dan satu pancawarsa, suku abad atau apa sahaja istilah masa yang mahu saudari gunakan, saya harap saudari telah mendapat sesuatu yang berharga iaitu pengalaman. Pengalaman yang saudari akan gunakan buat tahun-tahun mendatang.

Saudari,

Tidak perlu gambar untuk membayangkan wajah saudari kerna saudari paling jelas di hati. Tidak perlu juga buku manual, kompas, penunjuk arah, menara api atau peta kerna saudari tidak pernah hilang di hati. Tidak perlu pilihan kerna hanya ada satu jawapan.

Semoga gadis yang degil menjadikan kedegilan itu satu kekuatan. Semoga seorang gadis yang cengeng menjadikan air mata itu satu pengajaran. Semoga seorang gadis yang sering sakit menjadikan itu satu keinsafan.

Semoga sentiasa dalam lindungan Tuhan, semoga hilang segala kesengsaraan, semoga sentiasa bahagia dan membahagiakan. Apa juga ayat yang menggunakan perkataan "semoga", asalkan ia memberikan makna yang baik, saya tujukan buat saudari.

Saudari, 

Selamat menyambut Jubli Perak. Dan semoga ulangtahun Jubli Emas atau Jubli Intan saudari nanti kita masih mampu menyambutnya bersama.

Padah sebuah kebahagiaan

Gua mempunyai seorang sahabat yang tidak begitu karib. Beliau sudah berumahtangga dan kelihatan amat bahagia. Ketika waktu minum petang, beliau sering menceritakan kebahagiaannya dan gua mendengar dengan setia. Apa yang gua fokuskan bukanlah pada ceritanya sangat tapi memikirkan beliau seorang yang begitu handal dalam bab membelanja kawan.

"Gua ni hari-hari jatuh cinta dengan bini gua. Apa barang jatuh cinta sekali je, apa barang?", katanya pada suatu petang ketika kami sedang menikmati cendol. Gua ralit membuang kacang merah dari cendol. Kacang merah dalam cendol adalah antara idea gila dalam dunia. 

"Gua jatuh cinta bila tengok dia tidur, gua jatuh cinta bila tengok dia berjalan, gua jatuh cinta bila tengok dia sedang menengok tivi, gua jatuh cinta bila tengok dia ketawa apatah lagi bila dia menangis.", kata beliau dengan bersungguh-sungguh. Nampaknya beliau benar-benar mencintai isterinya. Gua hanya tersengih sambil menganggukkan kepala tanda respons. Anggukan kepala ketika orang lain sedang bercerita ialah satu bentuk respect walaupun apa yang diceritakan langsung tidak menarik.

"Kadang-kadang gua rasa gua jatuh cinta hampir 13 belas ribu kali sehari. Lu patut kahwin Remy, lu patut kahwin". Gua mengerutkan dahi sambil bertanya "tak habis ke cinta tu karang kalau jatuh cinta banyak sangat?". Sesi mengeteh petang itu tamat dengan pantas.

Berbulan berlalu, gua jarang mendengar berita mengenai dirinya hinggalah pada suatu hari dia mengundang gua untuk sesi makan malam di sebuah restoran mewah. Memikirkan mengenai nasi goreng kampung berharga RM12 dan nescafe ais berharga RM3.50 yang gua mampu nikmati secara percuma, gua terus bersetuju.

Pada sesi makan malam tersebut, dia banyak menceritakan tentang harga minyak, burung tekukur yang sudah jarang dilihat, penghawa dingin tanpa sedikit pun cerita tentang isterinya. Gua curiga seperti kucing. Dengan tujuan dia akan lebih bersemangat membelanja gua pada lain masa, gua menukar topik.

"Hari ni berapa kali lu jatuh cinta dengan isteri lu?"

Sesi makan malam tamat dengan pantas. Gua pulang dengan pilu memikirkan nasi goreng kampung berharga RM12 dan nescafe ais berharga RM3.50 yang gua terpaksa bayar dengan sendiri.




Cilake! Mana gua tahu dia dah cerai!